CHONG YU HENG D20112053103 EL-BP04

20 December, 2012

PUPUK CARA PEMAKANAN SIHAT DI SEKOLAH

PUPUK CARA PEMAKANAN SIHAT DI SEKOLAH




Kementerian kesihatan dan kementerian pelajaran telah mengambil langkah untuk menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Kantin Sekolah Sihat yang meliputi larangan menjual minuman berkarbonat berjenama dan minuman bertenaga di kantin atau mesin layan diri di sekolah. Usaha ini dianggap sebagai langkah untuk menggalakkan pemakanan berkhasiat dalam kalangan pelajar.

Kegemukan dan obesiti mempunyai kaitan dengan cara pemakanan. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini, menunjukkan bahawa seorang daripada 4 orang kanak-kanak di negara ini adalah gemuk ataupun obes. Manakala seorang daripada 3 orang remaja adalah berat badan yang berlebihan, dan seorang daripada 6 orang ialah obes. Kajian tersebut dijalankan pada tahun 2002 dan tahun 2008. Penemuan kajian tersebut menunjukkan peningkatan yang ketara dalam bilangan kegemukan dan obesiti dalam kalangan pelajar sekolah. Kanak-kanak yang berumur 5 dan 6 tahun juga menunjukkan peratus kegemukan dan obesiti lebih daripada 9%.

Statistik yang membimbangkan ini, jika dibiarkan, akan menyebabkan negara ini menuju ke arah negara gemuk. Kegemukan dan obesiti ialah penyebab utama kepada penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, penyakit darah tinggi dan sebagainya. Ini juga akan meningkatkan kos perubatan untuk rakyat Malaysia dan kerajaan.

Penjagaan pemakanan anak-anak patut dimulakan sejak bayi. Penyelidikan telah menunjukkan kebanyakan golongan dewasa yang obes bermula daripada bayi yang mempunyai berat badan berlebihan. Memulakan makanan pejal yang berkarbohidrat tinggi pada usia terlalu awal dan juga minuman yang mempunyai kandungan gula seperti jus memberi kesan pada berat bayi.

Selain daripada minuman berkarbonat, makanan yang tidak berkhasiat seperti keropok yang mengandungi garam yang tinggi, gula-gula serta makanan ringan yang kurang sihat juga patut dilarang dijual dalam kawasan sekolah. Selain itu, minuman jus atau minuman isotonik mungkin dianggap sebagai pilihan yang lebih sihat, tetapi produk tersebut juga mempunyai kandungan gula yang tinggi. Minuman tersebut juga patut dilarang dijual dalam kawasan sekolah.

Selain di dalam kawasan sekolah, kawasan di luar sekolah juga patut dipantau bagi mengelakkan wujudnya penjaja yang menjual makanan ringan yang tidak berkhasiat seperti ais krim. Kebanyakan penjaja ini merupakan penjaja yang tidak berlesen yang mempunyai cara penyimpanan makanan yang baik. Garis panduan yang disediakan itu juga perlu merangkumi juga buffer zone, iaitu kawasan luar sekolah dalam jarak yang tertentu dilarang menjual makanan yang tidak berkhasiat. Pihak sekolah juga patut bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memantau penjual makanan ringan tersebut.

Ibu bapa juga patut menjadikan model kepada anak-anak mereka dalam memupuk cara pemakanan yang sihat. Kanak-kanak patut didedah kepada cara pemakanan serta gaya hidup yang sihat sejak usia muda.

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)

No comments:

Post a Comment