CHONG YU HENG D20112053103 EL-BP04

25 December, 2012

HIDUP LEBIH MANIS TANPA GULA

Hidup Lebih Manis Tanpa Gula

Apabila pengumuman harga gula akan meningkat sebanyak RM0.20 bagi sekilogram pada Januari 2010, kedengaran keluh kesah di sana sini. Ada yang mengeluh kerana perbelanjaan barang-barang dapur akan meningkat lagi. Tak kurang juga yang mengeluh apabila memikirkan harga makanan dan minuman di kedai-kedai makan juga pasti akan meningkat. Para peniaga makanan mula mencongak-congak berapakah harga yang perlu ditetapkan bagi sebiji kuih dan segelas minuman. Inilah fenomena biasa yang melanda negara kita setiap kali kenaikan harga barang makanan dan keperluan harian lain dinaikkan harga. Namun, ramai yang tidak menyedari disebalik kenaikan harga gula ini sebenarnya tersembunyi kebaikan dan faedah yang tidak ternilai sekiranya dipandang dari sudut positif.


Adakah gula diperlukan dalam diet harian ?

Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Ramai masyarakat kita beranggapan gula merupakan salah satu bahan keperluan yang mesti ada dalam makanan harian. Salah tanggapan inilah yang menyebabkan rakyat semakin panik apabila kenaikan harga gula berlaku. Sebenarnya, gula di dalam badan kita boleh datangnya daripada sumber-sumber yang lain. Sebagai contoh, pengambilan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, roti, biskut atau ubi-ubian adalah sudah mencukupi untuk membekalkan gula yang dipanggil glukosa kepada badan kita. Oleh itu, pengambilan gula dalam bentuk gula putih sebenarnya tidak diperlukan selagi kita mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang.

Panduan mengurangkan gula dalam diet harian

1. Pilih atau sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
2. Gantikan manisan seperti kuih dan kek dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan.
3. Kurangkan kekerapan mengambil makanan yang bergula.
4. Elakkan mengambil makanan yang bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur.
5. Semak kandungan gula pada senarai ramuan sesuatu produk makanan. Sekiranya gula tersenarai dibahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula merupakan komponen utama makanan tersebut.
6. Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat atau air sirap dan kordial.
7. Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
8. Minta untuk kurangkan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman.
9. Periksa kandungan gula dalam label minuman.
10. Kurangkan kekerapan mengambil minuman yang bergula seperti air berkarbonat,kordial, cendol dan Air Batu Campur (ABC).
11. Elak mengambil minuman yang bergula di antara hidangan utama dan sebelum waktu tidur.

Kita tidak harus merasa takut atau resah dengan isu kenaikan harga gula ini. Ini kerana pengambilan gula harian yang disarankan adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang diamalkan sekarang. Sekiranya kita mengamalkan makan secara sihat, kenaikan harga gula ini sebenarnya tidak akan menjejaskan jumlah perbelanjaan harian kita.

Malah, kita harus sedar bahawa pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula boleh memudaratkan kesihatan satu masa kelak. Oleh itu, amalkan pengambilan makanan yang sihat untuk kesejahteraan diri dan keluarga. Kurangkan pengambilan gula dan makanan bergula untuk hidup yang lebih sihat.

Artikel oleh :
Bahagian Pemakanan
Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments:

Post a Comment