Bukan mudah memastikan makanan yang diambil oleh ahli keluarga berkhasiat lebih-lebih lagi jika makanan tersebut tidak disediakan sendiri. Agar anda peka tentang pentingnya menyediakan hidangan berkhasiat untuk keluarga terutamanya anak-anak, teruskan bersama artikel ini.
 
Menyediakan makanan untuk kanak-kanak yang sedang membesar memang tugas berat kerana kanak-kanak perlukan nutrien yang secukupnya untuk tumbesaran mereka. Akan tetapi lazimnya kanak-kanak enggan makan makanan yang nyata berkhasiat untuk mereka. Seperti orang dewasa, makanan yang diambil oleh kanak-kanak mestilah mematuhi setiap yang dicadangkan oleh piramid pemakanan. Pelbagaikan makanan berkhasiat yang membekalkan nutrien utama seperti karbohidrat, protein, lemak, mikro nutrien iaitu vitamin dan mineral serta sebatian yang terdapat di dalam makanan seperti phytochemicals dalam buah-buahan dan sayur-sayuran secara semula jadi.
Karbohidrat adalah sumber tenaga yang terbaik untuk otak anak anda. Karbohidrat boleh didapati dalam bijirin, bijirin sarapan, ubi, buah-buahan dan kekacang. Beras perang, bijirin, roti mil penuh, kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran pula membekalkan serat. Serat boleh membantu mengurangkan sembelit yang merupakan masalah biasa kanak-kanak.
 
Protein diperlukan untuk membentuk, membaiki serta menggantikan tisu-tisu badan dan tulang serta darah. Sumber-sumber protein pula termasuklah ikan, daging, ayam, legum, susu dan produk tenusu. Manakala lemak penting untuk membantu mengekalkan suhu badan serta menggalakkan pembentukan hormon dan sel.
 
Sesetengah makanan dan minuman membekalkan asid-lemak perlu (EFA) seperti omega-3 dan omega-6 yang akan menggalakkan pembentukan sistem otak, saraf serta mata. Lemak membekalkan dua satu perempat kali lebih kalori daripada karbohidrat atau protein. Jadi, hadkanlah pengambilan lemak anak anda.
 
Memperkenalkan anak kepada makanan sihat sejak kecil adalah langkah yang baik. Makanan yang diambil oleh kanak-kanak ketika berusia satu hingga tujuh tahun dikatakan mampu mempengaruhi tabiat pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Oleh yang demikian, pelbagaikanlah jenis, rasa dan tekstur makanan yang anda beri pada anak agar dapat mendidik deria rasa supaya boleh menerima pelbagai jenis makanan dan tidak memilih makanan. Di usia ini jugalah masa untuk membina asas kesihatan yang kukuh untuk dibawa sepanjang hayat.
 
Salah satu cabaran terbesar kebanyakan ibu bapa ialah memberi anak makan makanan yang berkhasiat. Akibatnya, ramai ibu bapa lebih selesa memesan makanan segera berbanding menyediakan sendiri. Cepat dan mudah. Akan tetapi ramai kurang sedar bahawa makanan siap diproses yang banyak di pasaran kurang berkhasiat dan sudah lama. Makanan seperti ini sudah tentulah kurang kandungan khasiatnya jika dibandingkan dengan makanan yang disediakan sendiri menggunakan bahan mentah yang segar.
 
Tubuh sihat
Nutrien sangat penting untuk menjamin pembentukan tubuh kanak-kanak yang sihat dan berupaya melawan serangan penyakit. Bagi menjamin kejayaan dalam memperkenalkan pemakanan sihat kepada anak-anak, ibu bapa perlulah rajin, banyak bersabar dan kreatif. Waktu makan perlulah dianggap sebagai masa yang menyeronokkan. Tanpa memaksa, galakkan anak-anak mencuba pelbagai jenis makanan baru.
 
Anak akan lebih bersemangat untuk makan jika anda dan dia bekerjasama dalam proses penyediaan makanan. Seelok-eloknya, proses bekerjasama itu perlulah bermula daripada ketika membeli bahan mentah hinggalah ke proses memasak. Antara yang boleh anda minta tolong pada anak ialah meminta dia membasuh sayur-sayuran atau buah-buahan, menggaul bahan yang ingin dimasak dan menyediakan pinggan mangkuk yang akan digunakan semasa makan nanti. Walaupun kehadiran anak di dapur dirasakan seperti menyibuk dan ada kalanya merimaskan, anda kenalah bersabar. Ketahuilah bahawa inilah masanya untuk anak belajar banyak perkara baru dan yang pastinya mereka akan rasa lebih seronok kerana dapat menyediakan sendiri makanan yang ingin dimakan.
Untuk menggalakkan anak makan sayur, anda boleh juga mengajar anak menanam sendiri sayur-sayur. Mungkin dengan cara ini mereka akan lebih bersemangat untuk makan sayur-sayuran kerana dia sendiri yang menanamnya.
 
Tidak dinafikan juga jika terlalu kerap memasak makanan untuk anak, anda mungkin buntu memikirkan apa lagi makanan yang ingin anda berikan pada anak. Sekiranya hal ini terjadi pada anda, rajin-rajinlah menyelak buku resipi ataupun melayari internet. Akan tetapi, ini tidaklah bermakna anda kena ikut bulat-bulat seperti apa yang diberitahu dalam internet atau buku. Ubahsuaikan resipi yang ada untuk dipadankan dengan selera anak. Untuk itu anda mestilah kreatif.
Semasa menyediakan makanan untuk anak, pastikan makanan tersebut anak anda suka agar tidak membazir. Ketika memperkenalkan resipi baru kepada anak, janganlah terlalu memaksanya. Beri anak masa untuk berkenalan dengan makanan tersebut.