CHONG YU HENG D20112053103 EL-BP04

28 December, 2012

Kesan Permainan Video

Kesan Permainan Video
1.Kanak-kanak dan remaja yang ketagihan bermain permainan video akan mula mengasingkan diri daripada keluarga dan masyarakat luar. Komunikasi antara mereka dan ahli keluarga yang lain juga akan semakin berkurangan dan akan menyebabkan mereka terpinggir serta ketinggalan dalam banyak perkara.
2.kanak-kanak dan remaja akan lebih terdedah kepada unsur-unsur yang ganas seperti pergaduhan, balas dendam, perjudian dan sebagainya.
3.Pemain permainan video juga akan lebih terdedah kepada risiko obesiti kerana mereka akan kurang bergerak kerana mereka biasanya akan makan serta minum di tempat mereka bermain tanpa perlu bergerak dengan aktif. 
4.kanak-kanak dan remaja akan hilang nilai-nilai murni dan lalai untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang manusia dan anak.

27 December, 2012

Kesan Pengawet Makanan


Pengawet adalah salah satu daripada bahan tambahan yang dimasukkan ke dalam makanan. Bahan-bahan tambahan lain termasuklah pewarna, perasa, ejen pengemulsi dan ejen penstabil. Semua bahan ini digunakan untuk tujuan membuat makanan tahan lama di samping lebih menarik dan enak rasanya.Pengawet berupaya mencegah pertumbuhan mikroorganisma yang mengakibatkan makanan berbau busuk dan basi.Namun demikian penggunaan bahan pengawet ini tidak selalunya selamat terutama sekali jika digunakan dalam kuantiti yang berlebihan.Ini berlaku seperti mana yang dilaporkan baru-baru ini apabila bahan penggunaan itu digunakan berlebihan dalam cili boh dan sos cili.
Contohnya,
Pengawet asid benzoik:
Asid benzoik boleh didapati secara semula jadi, tetapi biasanya disediakan secara sintetik. Ia digunakan sebagai pengawet dalam beberapa sediaan makanan yang tidak tahan lama seperti jam, sos dan cili boh.

Ini adalah kerana asid benzoik mempunyai keupayaan untuk bertindak sebagai ejen antibakteria dan antikulat.
Pengawet asid benzoik

Apabila digunakan secara berlebihan, pengawet asid benzoik boleh menyebabkan kerengsaan perut.
Ada juga laporan yang menujukkan bahawa ia boleh menjejaskan sistem saraf.Bagi mereka yang mengalami lelah atau pun yang mempunyai penyakit ruam kulit (seperti jenis urtikaria dan ekzema) bahan pengawet seumpama ini boleh memburukkan lagi keadaan.Para-hidroksi benzoat boleh menyebabkan rasa kebas di mulut.Bagi seseorang yang alah kepada pewarna-pewarna tiruan yang umumnya disebut sebagai pewarna jenis azo (seperti tartazin), kemungkinan besar ia akan mengalami alahan terhadap pengawet kumpulan benzoat.Begitu juga bagi mereka yang alah kepada ubat aspirin, memandangkan ketiga-tiga bahan ini berkaitan dari segi struktur kimianya.

Pengawet nitrat dan nitrit:
Satu lagi jenis pengawet yang boleh menimbulkan masalah adalah daripada kumpulan nitrat dan nitrit ataupun bentuk garamnya (garam kalium dan natrium).
Pengawet jenis ini sering kali digunakan untuk hasilan makanan yang diperbuat daripada daging.Tujuan pengawet ini digunakan adalah untuk mencegah pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria.Clostridium botulinum boleh menyebabkan keracunan yang dipanggil botulisme yang membawa kematian.Namun demikian, pengawet nitrit boleh mengakibatkan beberapa kesan yang tidak diingini seperti rasa mual, muntah-muntah, pening kepala dan tekanan darah menjadi rendah.Di dalam perut terdapat sebahagian kecil nitrit, ia boleh membentuk nitrosamina yang diketahui menyebabkan kanser pada haiwan ujian.Bagi bahan pengawet nitrat pula, kesakitan pada bahagian perut boleh berlaku di samping muntah-muntah, lemah otot serta kadar nadi tidak menentu.Pengawet nitrat boleh bertukar menjadi nitrit apabila makanan ini basi ataupun oleh bakteria di dalam perut yang kemudiannya boleh menghasilkan nitosamina.


Awas Semasa Membeli Makanan:
  • Jika boleh dapatkan bahan makanan segar. Kerana ia tidak mengandungi bahan tambahan atau pengawet.
  • Apabila membeli produk yang diproses, pastikan kandungan bahan tambahan yang terdapat di dalamnya.
  • Sedapat mungkin pastikan bahan tersebut adalah dalam sukatan yang dibenarkan.
  • Pastikan tarikh luput makanan. Ikut cara penyimpanan makanan yang betul.

25 December, 2012

FAKTA-FAKTA MENGENAI INFLUENZA A(H1N1)

Fakta Fakta mengenai Influenza A(H1N1)

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.

Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.

Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati Portal H1N1 - Kementerian Kesihatan Malaysia


Ketahui Influenza A(H1N1)



Lindungi Diri Anda : Influenza A(H1N1)


Sumber: Portal H1N1 - Kementerian Kesihatan Malaysia

FAKTA-FAKTA MENGENAI DEMAM DENGGI

Fakta-Fakta Mengenai Demam Denggi

1. Apa itu demam denggi ?
Demam denggi adalah disebabkan oleh virus denggi. Ia merebak melalui gigitan nyamuk aedes. Dianggarkan terdapat lebih 100 juta kes denggi di serata dunia setiap tahun.


2. Bagaimanakah untuk mengetahui saya berkemungkinan menghidap demam denggi?
Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas 5-6 hari gigitan nyamuk seperti:

  • Demam panas
  • Sakit kepala
  • Sakit tulang belakang
  • Sakit sendi-sendi
  • Loya dan muntah-muntah
  • Sakit biji mata
  • Ruam
3. Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?
Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut. Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:
  • Mudah lebam
  • Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
  • Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut
4. Apakah rawatan untuk demam denggi?
Masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah.

5. Apakah perlu saya lakukan untuk mencegah demam denggi?

Terdapat pelbagai jenis cara untuk mencegah demam denggi :
a. Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
  • Membuang bekas yang boleh menakung air
  • Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan ditutup bersama penutup
  • Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan air dibuang sekurang-kurangnya seminggu sekali
  • Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
  • Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
b. Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
c. Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
  • Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
  • Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
  • Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
  • Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup
6. Risalah


Risalah_Demam_Denggi.pdf



Soal_Jawab_Demam_Denggi_Untuk_Pesakit_Denggi.pdf




Soal_Jawab_Semburan_Kabus_Fogging_Denggi.pdf


Sumber: Portal myHealth

HIDUP LEBIH MANIS TANPA GULA

Hidup Lebih Manis Tanpa Gula

Apabila pengumuman harga gula akan meningkat sebanyak RM0.20 bagi sekilogram pada Januari 2010, kedengaran keluh kesah di sana sini. Ada yang mengeluh kerana perbelanjaan barang-barang dapur akan meningkat lagi. Tak kurang juga yang mengeluh apabila memikirkan harga makanan dan minuman di kedai-kedai makan juga pasti akan meningkat. Para peniaga makanan mula mencongak-congak berapakah harga yang perlu ditetapkan bagi sebiji kuih dan segelas minuman. Inilah fenomena biasa yang melanda negara kita setiap kali kenaikan harga barang makanan dan keperluan harian lain dinaikkan harga. Namun, ramai yang tidak menyedari disebalik kenaikan harga gula ini sebenarnya tersembunyi kebaikan dan faedah yang tidak ternilai sekiranya dipandang dari sudut positif.


Adakah gula diperlukan dalam diet harian ?

Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Ramai masyarakat kita beranggapan gula merupakan salah satu bahan keperluan yang mesti ada dalam makanan harian. Salah tanggapan inilah yang menyebabkan rakyat semakin panik apabila kenaikan harga gula berlaku. Sebenarnya, gula di dalam badan kita boleh datangnya daripada sumber-sumber yang lain. Sebagai contoh, pengambilan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, roti, biskut atau ubi-ubian adalah sudah mencukupi untuk membekalkan gula yang dipanggil glukosa kepada badan kita. Oleh itu, pengambilan gula dalam bentuk gula putih sebenarnya tidak diperlukan selagi kita mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang.

Panduan mengurangkan gula dalam diet harian

1. Pilih atau sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
2. Gantikan manisan seperti kuih dan kek dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan.
3. Kurangkan kekerapan mengambil makanan yang bergula.
4. Elakkan mengambil makanan yang bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur.
5. Semak kandungan gula pada senarai ramuan sesuatu produk makanan. Sekiranya gula tersenarai dibahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula merupakan komponen utama makanan tersebut.
6. Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat atau air sirap dan kordial.
7. Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
8. Minta untuk kurangkan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman.
9. Periksa kandungan gula dalam label minuman.
10. Kurangkan kekerapan mengambil minuman yang bergula seperti air berkarbonat,kordial, cendol dan Air Batu Campur (ABC).
11. Elak mengambil minuman yang bergula di antara hidangan utama dan sebelum waktu tidur.

Kita tidak harus merasa takut atau resah dengan isu kenaikan harga gula ini. Ini kerana pengambilan gula harian yang disarankan adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang diamalkan sekarang. Sekiranya kita mengamalkan makan secara sihat, kenaikan harga gula ini sebenarnya tidak akan menjejaskan jumlah perbelanjaan harian kita.

Malah, kita harus sedar bahawa pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula boleh memudaratkan kesihatan satu masa kelak. Oleh itu, amalkan pengambilan makanan yang sihat untuk kesejahteraan diri dan keluarga. Kurangkan pengambilan gula dan makanan bergula untuk hidup yang lebih sihat.

Artikel oleh :
Bahagian Pemakanan
Kementerian Kesihatan Malaysia

TIPS BERHENTI MEROKOK

Tips Berhenti Merokok

Sihat sepanjang hayat. Merokok meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda untuk mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok. Merokok boleh memberi kesan kepada hampir setiap organ dan tisu badan.


Mengapa saya harus berhenti merokok?
Merokok memberi keburukan kepada semua orang. Ia tidak memberi kebaikan kerana:
1. Merokok memberi kesan buruk kepada orang di sekeliling anda terutama ahli keluarga.
2. Ibu yang mengandung boleh melahirkan anak tidak cukup bulan, kurang berat badan atau mati selepas lahir.
3. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok boleh:
* Sering sakit dengan mengalami batuk-batuk, selsema serta jangkitan telinga, hidung dan tekak
* Mengalami perkembangan paru-paru yang lemah
* Mendapat asma

Apakah faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok?
Keputusan untuk berhenti merokok adalah untuk kebaikan diri sendiri dan kesihatan keluarga anda. Faedah-faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok ialah:

* Panjang umur - Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5 ribu rakyat Malaysia setiap tahun.
* Mengelakkan dari bahan-bahan berbahaya - Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
* Mencegah penyakit - Hampir 40 jenis penyakit yang berkait dengan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik,strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit-penyakit bahaya akibat tabiat merokok
* Kehidupan yang lebih sihat - Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selsema dan lain-lain penyakit pernafasan berbanding dengan perokok
* Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain - bila anda merokok, ia memberi kesan kepada orang di sekeliling anda, di mana asap rokok tersebut boleh mendatangkan serangan asma dan lain-lain penyakit berkaitan dengan pernafasan
* Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak-anak.
* Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat
* Meningkatkan deria bau dan rasa
* Memiliki gigi yang putih dan nafas yang segar
* Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok
* Menjimatkan wang - Labur wang anda berbanding membeli rokok (RM5.00 sehari, pelaburan =RM 150.00 sebulan = RM 1800.00 setahun. Jika anda melabur untuk 10 tahun, anda sudah mempunyai RM18,000.00 dalam akaun simpanan anda).
* Melindungi alam sekitar - Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran
* Meningkatkan kesuburan.
* Meningkatkan tahap 'kelakian'

Bagaimana hendak berhenti merokok?
Pelajari kaedah-kaedah yang betul. Banyak kaedah untuk berhenti merokok. Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan.
* Tetapkan tarikh untuk berhenti
* Yakin diri
* Buatkan nota peringatan
* Katakan pada diri anda "saya bukan perokok"
* Sentiasa berfikiran positif
* Dapatkan sokongan
* Gunakan terapi penganti nikotin
* Amalkan 12M untuk berhenti merokok

Teknik berhenti merokok
Tip Berhenti Merokok 12 M :

1. Melengah-lengahkan
* Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar
2. Menarik nafas panjang
* Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan
3. Minum air
* Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein
4. Menyibukkan diri
* Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok
5. Menjauhkan diri
* Daripada orang yang merokok
6. Mengelakkan diri
* Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok
7. Mengunyah sesuatu
* Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis
8. Membasuh tangan selalu
9. Mandi dengan kerap
10. Meregangkan otot
* Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk
11. Meditasi
12. Memohon doa
* Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha


Sumber: http://www.infosihat.gov.my

MAKAN SECARA SIHAT

Makan Secara Sihat

Bagi kita anda yang mempunyai masalah berlebihan berat badan atau obesiti, sudah pastilah mengurangkan berat badan merupakan azam baru pada setiap tahun. Bagi mereka yang mempunyai berat badan yang normal pula, masalah utama ialah mengetahui cara untuk mengekalkan berat badan.

Sekiranya anda telah membuat keputusan untuk mengurangkan berat badan, mengikuti fad diet atau mengurangkan pengambilan makanan secara ekstrim mungkin tidak dapat membantu anda mengurangkan berat badan yang berkekalan. Cara untuk mengurangkan berat badan yang selamat dan berkekalan ialah melalui amalan makan secara sihat dan juga peningkatan aktiviti fizikal.

Jadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada aktiviti harian anda. Luangkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal seperti anda meluangkan masa untuk menonton rancangan kegemaran anda. Mulakan dengan aktiviti yang ringkas dan senang seperti meletak kenderaan jauh daripada tangga atau lif, menaiki anak tangga berbanding menggunakan lif, membuat kerja-kerja rumah seperti mengelap lantai, membasuh kain dengan menggunakan tangan, membasuh kereta serta berkebun. Sekiranya anda mempunyai masa yang terluang, bolehlah menjalankan aktiviti fizikal di taman-taman rekreasi seperti berjoging atau mengikuti kelas-kelas tarian atau aerobik.

5 PANDUAN MAKAN SECARA SIHAT YANG MUDAH UNTUK ANDA IKUTI

1) Makan Secara Teratur
Melangkaui (skipping) sesuatu masa makan boleh membawa kepada kelaparan yang tidak terkawal, selalunya menyebabkan kita makan berlebihan. Amalan yang baik ialah mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Jika anda mengambil bahagian (portion) makanan yang munasabah, tidak ada masalah bagi anda memakan makanan kegemaran anda dan mengekalkan berat badan yang sihat.

2) Minum 6-8 gelas air kosong sehari.
Sekiranya anda gemar mengambil minuman manis, apa kata mulakan tahun baru anda dengan mengubah amalan tersebut. Pengambilan minuman manis boleh menyumbang kepada kalori yang berlebihan yang mudah menyebabkan kegemukan. Percayalah, satu gelas air kosong mengandungi 0 kalori berbanding teh tarik yang mengandungi 128 kalori. Mudah bukan untuk kurangkan kalori !.

3) Hadkan pengambilan makanan yang berlemak, bersantan dan bergoreng.
Makanan yang berlemak, bersantan dan bergoreng adalah tinggi kandungan kalori. Terlalu banyak atau kerap mengambil makanan ini boleh menyebabkan kegemukan terutama bagi mereka yang kurang aktif. Ubahlah tabiat anda dengan mengambil makanan yang dikukus, direbus, dibakar atau dipanggang. Jumlah kalori dapat dikurangkan sekiranya anda mengurangkan kekerapan mengambil makanan yang berlemak, bersantan dan bergoreng.

4) Amalkan pengambilan buah dan sayur setiap hari
Buah dan sayur adalah penting dalam diet harian. Ia merupakan sumber utama vitamin, mineral, serat dan lain-lain bahan yang penting untuk kesihatan. Kebanyakan orang tidak mengambil buah dan sayur dalam jumlah yang disarankan. Pengambilan pelbagai jenis buah dan sayur mengikut saranan boleh melindungi anda daripada penyakit-penyakit kronik. Ia juga membantu melawaskan saluran najis. Selain daripada itu,buah dan sayur juga mengenyangkan. Ini akan mengurangkan anda mengambil makanan yang lain. Dan yang lebih penting, buah dan sayur adalah rendah kandungan kalori. Ambillah sekurang-kurangnya 5 sajian buah dan sayur setiap hari.

5) Snek yang sihat
Kebanyakan orang tidak menyedari, pengambilan kalori yang berlebihan boleh disebabkan oleh makanan yang tidak mengenyangkan yang dijadikan snek seperti keropok, kerepek, kacang masin, gula-gula, dan biskut lemak atau berkrim. Makanan ini kebanyakkannya tinggi kalori, lemak dan gula. Sekiranya anda sukakan snek, pilihlah snek yang sihat dan rendah kalori seperti buah-buahan, sandwic, jagung rebus, kacang rebus atau panggang dan yogurt rendah lemak dan gula.

Ingat, perubahan dalam amalan diet anda tidak perlu terlalu drastik sehingga anda merasa tertekan untuk melakukannya. Buatlah perubahan secara perlahan-lahan. Perubahan yang kecil dan berkesan adalah lebih baik daripada matlamat yang besar tetapi tidak mampu dicapai.

Artikel oleh:
Bahagian Pemakanan,
Jabatan Kesihatan Awam
Kementerian Kesihatan Malaysia