CHONG YU HENG D20112053103 EL-BP04

05 December, 2012

KANAK-KANAK OBES

Kanak-kanak Obes

Mengikut statistik kegemukan di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, sebanyak 15% daripada kanak-kanak dalam kategori obes. Manakala 15% berpontensi menjadi obes. 2/3 daripada kanak-kanak obes ini akan kekal dalam keadaan obes ketika dewasa. Peratusan ini terus meningkat dari semasa ke semasa. Itu statistik 5 tahun lepas. Agak-agak sekarang, berapa peratus? Fikirkan.

Kanak-kanak gemuk? Salah siapa? Bila bersama ahli keluarga, kita sering memuji dan membiarkan kanak-kanak makan, ‘takpe, sihat, bagi dia makan’. Kanak-kanak tu kecil lagi, apa yang dia peduli kalau badan dia naik. Ketika masuk alam persekolahan, ada kanak-kanak obes sudah mula rasa tersisih. Kawan mengejek dia gemuk, atau mungkin dia sendiri terasa bila bermain bola bersama rakan-rakan, sukar untuk dia mengejar bola atau pelbagai situasi lain. Tapi apa dia boleh buat? Adakah dia tahu bagaimana untuk kuruskan badan?
Bila masuk alam remaja, ada yang boleh hidup gembira dan aktif seperti mereka yang lain tetapi dalam masa sama berdepan dengan pelbagai konflik dalaman yang mungkin tidak ditonjolkan. Bila tengok kawan-kawan mungkin ada teman lelaki atau teman wanita dan diri dia tiada sesiapa yang minat, diri mula rasa tersisih. Tak dinafikan, ada yang menerima dan pandai menggunakan kelebihan diri dalam pergaulan, tapi berapa ramai? Saya sendiri dulu ada client yang mana sampai tahap, nak keluar rumah pun malu, di rumah taknak makan apa-apa dengan harapan boleh kurus, berada dalam keadaan tertekan. Salah siapa dari awal? Ibu bapa atau penjaga seharusnya bertanggungjawab menjaga anak sejak kecil, bukan sahaja memberi pelajaran akademik tetapi juga bertanggungjawab untuk kesihatan anak-anak.
Kanak-kanak obes berhadapan dengan risiko sakit diabetis, masalah jantung dengan tahap cholestrol yang tinggi, tekanan darah tinggi, berdengkur (jangan ingat berdengkur itu normal), asma (banyak pakar berpendapat bahawa kegemukan kanak-kanak semasa kecil meningkatkan risiko sakit asma), sakit-sakit sendi, dan macam-macam lagi. Dahulu susah kita dengar orang sakit jantung pada usia muda, tapi kini umur 15 tahun pun ada. Antara yang jadi punca lagi, dulu mana ada play station, sekarang ini wajib ada. Dulu kanak-kanak aktif di luar, sekarang nak suruh keluar rumah kena paksa. Dulu makan mak masak, sekarang hari-hari mcd, kfc.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, adalah tanggungjawab kita untuk meletakkan sempadan untuk anak-anak. Sebagai contoh, kalau makanan segera, bukan cakap tak boleh makan, cuma jangan kerap, mungkin sebulan sekali. Bawa anak-anak untuk beriadah, bersenam, bersukan. Mungkin boleh buat aktiviti keluarga setiap hujung minggu, main badminton bersama, atau berbasikal bersama atau lain-lain. Bukan sahaja untuk kesihatan anak-anak tetapi dapat juga mengeratkan hubungan sesama keluarga. Galakkan anak-anak menyertai kegiatan kokorikulum di sekolah, aktiviti sukan di sekolah, bukan semata-mata akedemik, pagi sekolah, petang tuisyen, malam kelas tambahan.
Sempena cuti sekolah ini, marilah kita pelbanyakkan aktiviti untuk anak-anak. Tidaklah mereka terperap depan komputer setiap hari. Ingatlah, anak itu anugerah tuhan.

04 December, 2012

ANAKKU CERGAS DAN CERDAS!

Anakku Cergas Dan Cerdas!

      

Kanak-kanak

Pemakanan yang berkhasiat dan baik membuatkan pertumbuhan si kecil sempurna sekali gus cergas dan meningkatkan kekuatan fizikalnya.

Pemakanan yang berkhasiat dan baik penting untuk pertumbuhan tubuh yang sihat dan sempurna. Ia bukan sahaja meningkatkan kekuatan fizikal dan cergas tetapi juga kecergasan otak. Jika pengambilan makanan berkhasiat diabaikan, ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan kesihatannya.

Oleh itu, mengawal pemakanan terhadap kanak-kanak perlu untuk mengelak daripada menghadapi masalah kesihatan seperti tumbesaran yang terbantut, letih, malnutrisi, perkembangan kognitif dan emosi atau akademik yang terjejas.

Terdapat beberapa jenis vitamin yang memainkan peranan penting untuk pertumbuhan si kecil antaranya vitamin A yang menggalakkan sistem imun si kecil.
Vitamin C pula untuk gigi dan gusi serta membantu tubuh menyerap zat besi dan kalsium yang mana si kecil memerlukan untuk pertumbuhan gigi yang sihat.

Selain itu, jangan abaikan juga pemakanan yang mengandungi vitamin D. Ini kerana jika kekurangan vitamin ia menyebabkan kanak-kanak mengalami rickets atau cacat tulang terutama belakang, kaki dan tengkorak; tulang mudah patah, bengkak sendi dan lemah otot.

Sementara itu, mineral seperti zat besi, zink dan magnesium juga menjadi zat pemakanan yang untuk pertumbuhan si kecil. Misalnya zink penting untuk penyembuhan kulit dan tumbesaran. Juga magnesium untuk pembentuk tulang dan gigi dan umumnya penting dalam diet harian si kecil.


Info zat pemakanan :
Karbohidrat
Bijirin, beras, gandum dan ubi

Protein
Susu dan hasil tenusu (keju), ikan, daging tanpa lemak dan ayam
Kalsium
Susu dan produk susu, keju, tofu, sayuran berdaun hijau, kekacang dan telur.

Vitamin A
Produk tenusu, keledek, minyak ikan kod, lobak merah, tomato, labu, mangga, betik, tembikai, cekur manis, cili merah, pucuk paku, kailan dan sawi.

Vitamin C
Brokoli, betik, oren, mangga, jambu batu dan banyak lagi buah-buahan lain.

Vitamin D
Hasil tenusu, dan telur,mentega, minyak ikan kod, putih telur, susu, oat, ikan salmon, sardin, ubi kentang, tuna, dan minyak sayuran.

Vitamin E
Minyak sayuran, sayuran berdaun hijau gelap, kacang, biji-bijian, dan semua bijirin. Serta beras perang, makanan daripada jagung, telur, rumpai laut, susu, oat, kacang soya, ubi kentang dan gandum.

Mineral
Zat besi, zink dan magnesium
Sesetengah bijirin dan biskut gandum dan produk berasaskan gandum

Tip galak anak makan makanan yang berkhasiat :
Ibu perlu kreatif untuk menghidangkan makanan untuk si kecil bagi menarik minat dia menjamah hidangan yang berkhasiat. Ikuti panduan seperti berikut:

Potongan buah-buahan dan sayur-sayuran ,potongan keju dan roti sandwic dalam saiz yang kecil untuk mudah si manja mengunyahnya.
Buah-buahan segar adalah antara snek yang terbaik. Epal, pear dan oren mudah dibawa. Potong halus dan hidangkan.
Buat salad buah-buahan dengan yogurt rendah lemak untuk menambah pengambilan kalsium.
Jagung panggang, rebus atau kukus adalah snek kaya dengan serat (jangan tabur garam & sapu marjerin atau mentega) begitu juga dengan pisang segar.
Jangan benarkan mereka makan makanan ringan kurang daripada satu jam sebelum waktu makan.
Menggalakkan kanak-kanak untuk mencuba makanan yang baru tanpa paksaan.

03 December, 2012

PENTINGNYA SAJIAN BERKUALITI

      

pix
Bukan mudah memastikan makanan yang diambil oleh ahli keluarga berkhasiat lebih-lebih lagi jika makanan tersebut tidak disediakan sendiri. Agar anda peka tentang pentingnya menyediakan hidangan berkhasiat untuk keluarga terutamanya anak-anak, teruskan bersama artikel ini.
 
Menyediakan makanan untuk kanak-kanak yang sedang membesar memang tugas berat kerana kanak-kanak perlukan nutrien yang secukupnya untuk tumbesaran mereka. Akan tetapi lazimnya kanak-kanak enggan makan makanan yang nyata berkhasiat untuk mereka. Seperti orang dewasa, makanan yang diambil oleh kanak-kanak mestilah mematuhi setiap yang dicadangkan oleh piramid pemakanan. Pelbagaikan makanan berkhasiat yang membekalkan nutrien utama seperti karbohidrat, protein, lemak, mikro nutrien iaitu vitamin dan mineral serta sebatian yang terdapat di dalam makanan seperti phytochemicals dalam buah-buahan dan sayur-sayuran secara semula jadi.
Karbohidrat adalah sumber tenaga yang terbaik untuk otak anak anda. Karbohidrat boleh didapati dalam bijirin, bijirin sarapan, ubi, buah-buahan dan kekacang. Beras perang, bijirin, roti mil penuh, kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran pula membekalkan serat. Serat boleh membantu mengurangkan sembelit yang merupakan masalah biasa kanak-kanak.
 
Protein diperlukan untuk membentuk, membaiki serta menggantikan tisu-tisu badan dan tulang serta darah. Sumber-sumber protein pula termasuklah ikan, daging, ayam, legum, susu dan produk tenusu. Manakala lemak penting untuk membantu mengekalkan suhu badan serta menggalakkan pembentukan hormon dan sel.
 
Sesetengah makanan dan minuman membekalkan asid-lemak perlu (EFA) seperti omega-3 dan omega-6 yang akan menggalakkan pembentukan sistem otak, saraf serta mata. Lemak membekalkan dua satu perempat kali lebih kalori daripada karbohidrat atau protein. Jadi, hadkanlah pengambilan lemak anak anda.
 
Memperkenalkan anak kepada makanan sihat sejak kecil adalah langkah yang baik. Makanan yang diambil oleh kanak-kanak ketika berusia satu hingga tujuh tahun dikatakan mampu mempengaruhi tabiat pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Oleh yang demikian, pelbagaikanlah jenis, rasa dan tekstur makanan yang anda beri pada anak agar dapat mendidik deria rasa supaya boleh menerima pelbagai jenis makanan dan tidak memilih makanan. Di usia ini jugalah masa untuk membina asas kesihatan yang kukuh untuk dibawa sepanjang hayat.
 
Salah satu cabaran terbesar kebanyakan ibu bapa ialah memberi anak makan makanan yang berkhasiat. Akibatnya, ramai ibu bapa lebih selesa memesan makanan segera berbanding menyediakan sendiri. Cepat dan mudah. Akan tetapi ramai kurang sedar bahawa makanan siap diproses yang banyak di pasaran kurang berkhasiat dan sudah lama. Makanan seperti ini sudah tentulah kurang kandungan khasiatnya jika dibandingkan dengan makanan yang disediakan sendiri menggunakan bahan mentah yang segar.
 
Tubuh sihat
Nutrien sangat penting untuk menjamin pembentukan tubuh kanak-kanak yang sihat dan berupaya melawan serangan penyakit. Bagi menjamin kejayaan dalam memperkenalkan pemakanan sihat kepada anak-anak, ibu bapa perlulah rajin, banyak bersabar dan kreatif. Waktu makan perlulah dianggap sebagai masa yang menyeronokkan. Tanpa memaksa, galakkan anak-anak mencuba pelbagai jenis makanan baru.
 
Anak akan lebih bersemangat untuk makan jika anda dan dia bekerjasama dalam proses penyediaan makanan. Seelok-eloknya, proses bekerjasama itu perlulah bermula daripada ketika membeli bahan mentah hinggalah ke proses memasak. Antara yang boleh anda minta tolong pada anak ialah meminta dia membasuh sayur-sayuran atau buah-buahan, menggaul bahan yang ingin dimasak dan menyediakan pinggan mangkuk yang akan digunakan semasa makan nanti. Walaupun kehadiran anak di dapur dirasakan seperti menyibuk dan ada kalanya merimaskan, anda kenalah bersabar. Ketahuilah bahawa inilah masanya untuk anak belajar banyak perkara baru dan yang pastinya mereka akan rasa lebih seronok kerana dapat menyediakan sendiri makanan yang ingin dimakan.
Untuk menggalakkan anak makan sayur, anda boleh juga mengajar anak menanam sendiri sayur-sayur. Mungkin dengan cara ini mereka akan lebih bersemangat untuk makan sayur-sayuran kerana dia sendiri yang menanamnya.
 
Tidak dinafikan juga jika terlalu kerap memasak makanan untuk anak, anda mungkin buntu memikirkan apa lagi makanan yang ingin anda berikan pada anak. Sekiranya hal ini terjadi pada anda, rajin-rajinlah menyelak buku resipi ataupun melayari internet. Akan tetapi, ini tidaklah bermakna anda kena ikut bulat-bulat seperti apa yang diberitahu dalam internet atau buku. Ubahsuaikan resipi yang ada untuk dipadankan dengan selera anak. Untuk itu anda mestilah kreatif.
Semasa menyediakan makanan untuk anak, pastikan makanan tersebut anak anda suka agar tidak membazir. Ketika memperkenalkan resipi baru kepada anak, janganlah terlalu memaksanya. Beri anak masa untuk berkenalan dengan makanan tersebut.

GULA BERLEBIHAN MUSUH ANAK

Gula Berlebihan Musuh Anak

        
pic
Secara umumnya, gula berfungsi membekalkan tenaga kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pengambilan terlalu banyak gula boleh memudaratkan.
Gula merupakan karbohidrat ringkas yang membekalkan tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Gula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu gula semula jadi dan gula tambahan. Gula semula jadi boleh didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan madu. Manakala gula tambahan adalah gula yang ditambah ke dalam makanan atau minuman sama ada ketika diproses, dimasak atau dimasukkan terus ke dalam makanan. Gula tambahan ini juga berasal daripada sumber semula jadi. Kebanyakan makanan yang diproses di kilang menggunakan gula tambahan yang dikenali sebagai sukrosa, sirap jagung (corn syrup) dan sirap glukosa (glucose syrup).
Diakui kanak-kanak memang perlukan karbohidrat. Bagi kanak-kanak berusia dua tahun dan ke atas, mereka perlukan kalori yang diperoleh daripada karbohidrat di antara 50 hingga 60%. Akan tetapi, ibu bapa perlu pastikan karbohidrat yang diberikan kepada anak adalah daripada sumber makanan yang berkhasiat dan bukan semata-mata daripada gula.
Sebenarnya, tubuh manusia tidak perlukan gula tambahan. Hal ini adalah kerana tubuh boleh menukarkan makanan seperti nasi, ikan, daging, sayur, susu dan ubi kentang kepada glukosa apabila badan memerlukan tenaga. Jika dihitung, pengambilan makanan harian iaitu dua kali hidangan nasi dan makanan sampingan lain mempunyai jumlah kalori (tenaga) yang jauh lebih banyak daripada tenaga yang diperlukan oleh tubuh. Kalori yang berlebihan itulah yang akan memberikan kesan buruk terhadap kesihatan badan seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti.
Kesan pengambilan gula tambahan berlebihan:
  • Boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.
  • Pengambilan tenaga yang berlebihan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan peningkatan berat badan seterusnya membawa kepada masalah obesiti.
  • Merangsang pembentukan karies gigi.
  • Wujudnya masalah kelakuan seperti hilang daya tumpuan dan panas baran juga berpunca daripada mengambil terlalu banyak gula.
  • Peningkatan risiko menghidap penyakit kencing manis.
  • Kemungkinan diserang masalah tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok sangat tinggi.
  • Melemahkan sistem imunisasi tubuh.
  • Mengganggu imbangan galian dalam badan.
  • Menyebabkan kanak-kanak rasa mengantuk dan kurang cergas.
  • Menjejaskan pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran.
  • Melemahkan penglihatan.
  • Meningkatkan paras adrenalina di kalangan kanak-kanak.
  • Penyebab ekzema di kalangan kanak-kanak.
Panduan kurangkan pengambilan gula:
  1. Banyakkan minum air kosong.
  2. Kurangkan penggunaan gula dalam masakan dan minuman.
  3. Ambil buah-buahan sebagai makanan pencuci mulut menggantikan kuih-muih yang manis.
  4. Elakkan pengambilan snek dan minuman bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur.
  5. Seelok-eloknya pilihlah makanan dan minuman yang tidak mengandungi gula tambahan.
Info tambahan:
Paras gula yang tinggi atau Hyperglycaemia akan menyebabkan pembakaran glukosa yang berlebihan di dalam otot. Pembakaran tenaga akan menghasilkan gerak-geri otot yang menyebabkan kanak-kanak bergerak tanpa kawalan. Dengan tenaga yang berlebihan, mereka akan mula berlari-lari, melompat dan menjerit-jerit tanpa kawalan. Inilah yang dinamakan hiperaktif.
Pembakaran glukosa pula menghabiskan vitamin B1, B2, B3, kalsium, magnesium dan oksigen kerana sebahagian besarnya telah digunakan untuk aktiviti pergerakan otot. Kekurangan vitamin dan zat ini mengurangkan baki bekalan glukosa untuk kegunaan otak. Keadaan ini akan mempengaruhi emosi anak. Mereka mudah gelisah dan cemas kerana otak tidak mendapat bekalan glukosa, oksigen, vitamin dan zat galian yang mencukupi.
Berapa banyakkah gula yang ada di dalamnya?
  • Minuman bergas 500ml - 14.4 sudu teh
  • Minuman dalam tin tanpa gas 350ml - 9.6 sudu teh
  • Minuman coklat malt dalam tin 125ml - 5.5 sudu teh
  • Kek buah-buahan 40g - 3.5 sudu teh
  • Bijirin sarapan bersalut madu 220g - 10.1 sudu teh
  • Aiskrim coklat sepotong saiz biasa - 7.7 sudu teh
  • Sundae restoran makanan segera - 10.3 sudu teh
  • Rempah ayam segera satu pek - 4.7 sudu teh
  • Minuman berkultur satu botol kecil - 2.7 sudu teh
  • Susu pekat manis dalam tin kecil - 35.5 sudu teh
Nama lain gula ialah:
Glukosa
Fruktosa
Laktosa
Maltosa
Sukrosa
Sirap Glukos
Sirap Maple
Molases
Sirap Hitam
Sirap Kencana
Dektrosa
Sorbitol

02 December, 2012

BEKAL SIHAT UNTUK ANAK

Bekal Sihat Untuk Anak




kelender

Ramai ibu bapa pening kepala memikirkan apakah makanan yang perlu dibekalkan kepada anak untuk ke sekolah. Bagi meleraikan permasalahan anda, ikutilah panduan ini.

1. Makanan untuk anak bawa bekal ke sekolah perlulah seimbang. Pastikan ada karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin dan mineral. Contoh menu yang ringkas, seimbang dan sesuai ialah sandwic. Tetapi anda perlulah pelbagaikannya. Bukan sandwic yang sama setiap hari. Anda boleh pelbagaikan roti yang digunakan untuk membuat sandwic. Selain roti gandum, anda boleh juga menggunakan roti pita, capati, croissant dan English muffin. Manakala untuk isi dalamnya, anda boleh gunakan tuna, ayam, telur dan sosej. Tetapi, jangan lupa masukkan bersama-sama sayur-sayuran seperti salad, tomato dan timun. Agar sandwic lebih enak dan berkalsium, tambahkan dengan kepingan keju.
 
2. Ingat, makanan untuk kanak-kanak tidak boleh terlalu banyak garam, gula dan minyak. Penggunaan bahan perisa juga perlu dihadkan.
 
3. Untuk minumannya pula, bekalkan anak minuman bersusu dan air kosong. Bukan minuman berperisa seperti kordial ataupun minuman berkarbonat. Jika ingin beri anak jus buah-buahan, pastikan yang anda buat sendiri minuman tersebut tanpa ditambah gula.
 
4. Snek juga perlu dibekalkan. Oleh itu, disarankan agar anda berikan hanya snek yang berkhasiat untuk anak. Antara yang sesuai ialah epal, pisang, biskut oat, kismis dan kekacang.

01 December, 2012

AMALKAN CARA HIDUP SIHAT

AMALKAN CARA HIDUP SIHAT

cara hidup sihatKunci untuk sihat sepanjang hayat
    Kunci untuk kehidupan yang sihat adalah mengamalkan cara hidup sihat:
  • Tidak merokok
  • Lakukan aktiviti fizikal
  • Belajar menangani stress
Faedah cara hidup sihat:
  • Meningkatkan status kesihatan anda
  • Mengurangkan risiko anda mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, serangan jantung, strok (angin ahmar) dan tekanan darah tinggi.
  • Membuat anda kelihatan dan berasa lebih baik
  • Membolehkan anda memiliki stamina dan keupayaan lebih untuk menikmati kehidupan..
Makan secara sihat :
  • Nikmati pelbagai jenis makanan
  • Makan mengikut waktu yang teratur (Tiga waktu makan utama – sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam)
  • Pilihlah makanan harian berasaskan Piramid Makanan.
  • Pilih makanan yang rendah gula, garam dan lemak.

30 November, 2012

Gula-gula



>gula-gula boleh menyebabkan kerosakan gigi dan membawa penyakit diabetis. Di samping itu, gula-gula sebenarnya mengandungi bahan campuran yang didakwa yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah kelakuan termasuk panas baran dan kurang daya tumpuan. Pengambilan gula-gula dalam kuantiti yang banyak dan kerap juga boleh menyebabkan kanak-kanak rasa mengantuk, mengurangkan kecergasan dan menjejaskan pencapaian dalam pelajaran.
Cara-cara berikut mungkin boleh di praktikkan bagi mengatasi masalah kanak-kanak  yang mahukan gula-gula :
1.Alih perhatian mereka kepada aktiviti lain atau barang mainan yang digemari.
2.Gantikan gula-gula dengan buah-buahan seperti tembikai, betik, pisang,dan buah epal. Buahan-buahan bukan sahaja mengandungi air tetapi kaya dengan vitamin C.
3.Elakkan dari menyimpan gula-gula di rumah anda.
Jika anda ada cara lain untuk mengatasi masalah ini, sudilah berkongsi di bahagian komen.
Sekian, terima kasih.